Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, kebanyakan konglomerat dan perniagaan-perniagaan kecil kini merasakan kesempitan kewangan. Namun, sangatlah menggembirakan apabila kelihatan para pemilik sumber-sumber awam di Singapura masih kekal menyokong Pertahanan Mutlak.
Lebih dari seratus buah kenderaan sumber awam yang terdiri dari pelbagai jenis, termasuk lori dan kenderaan muatan rendah telah diaktifkan sewaku suatu latihan gerakan pada 16 Mei lalu.
Dalam masa sesingkat beberapa jam sahaja selepas pemberitahuan, mereka telah berhimpun di Singapore Expo untuk pemeriksaan dan pengesahan, oleh para askar dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
"Gerak balas yang pantas dan bersedia dari para pemilik dan sumber mereka adalah perkara yang paling utama", puji Ketua Kawalan dari Penguasa Sumber Awam, Encik Teo Hoon Bong.
Latihan gerakan yang dijalankan dengan jaya itu telah disaksikan oleh Menteri Negara untuk Pertahanan, Profesor Madya Koo Tsai Kee dan hampir 100 orang pengunjung yang lain. Di kalangan yang turut hadir merupakan para anggota Majlis Penasihat untuk Hubungan Masyarakat dalam Pertahanan (ACCORD), para pemimpin akar umbi dan para pemilik sumber awam.
"Jika kami menjalankan latihan ini dengan baik, ia akan memastikan bahawa Singapura akan menjadi sebuah tempat yang lebih selamat dan rakyatnya pula akan bertambah yakin untuk melabur dengan kami. Ini akan memberikan manfaat kepada pertumbuhan dan keselamatan kita," kata Profesor Madya Koo.
Gerakan sumber awam merupakan sebahagian dari pendekatan lima penjuru menuju Pertahanan Mutlak – yang bertujuan untuk mencegah para pengganas yang berpotensi. Pemilik sumber awam meluangkan asset dan perkhidmatan penting mereka untuk operasi SAF dan ada kalanya dalam masa kecemasan nasional.
"Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan SAF dan saya tahu saya sedang membantu mempertahankan negara saya," beritahu Encik Desmond Lim, dari LTH Logistics Singapore Pte Ltd, kepada cyberpioneer.
"Walaupun Singapura kini sedang menghadapi kegawatan, namun keselamatannya adalah perkara yang paling utama," seorang lagi pemilik sumber awam, Encik Oh Siong Huat dari Eng Seng Construction Pte Ltd, turut bersetuju.
"Pengorbanan yang kecil dari kami membawa pengertian yang besar untuk negara, jadi kami langsung tidak keberatan untuk memberikan bantuan."
Latihan gerakan seperti itu sering dikendalikan untuk membiasakan para pemilik sumber awam dengan proses dan tatacara penuntutan rasmi serta pengesahan tahap kesediaan mereka.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan