Isnin, 7 Januari 2008

DIMENSI RISIK ATM 2008 (DARI UTUSAN ONLINE)


Oleh AMIR SARIFUDIN (WARTAWAN UTUSAN)




INSIDEN letupan bom dan ancaman pengganas di Thailand, Filipina, Indonesia dan pergolakan politik di negara-negara seperti Pakistan berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto baru-baru ini, sedikit sebanyak mampu memberi kesan kepada keselamatan Malaysia.
Dengan kata lain, ia boleh memberi tempias kepada negara-negara berdekatan seperti Malaysia jika kita tidak mengambil berat isu pertahanan.
Oleh itu, adalah penting kestabilan politik sesebuah negara dipertahankan kerana ia menentukan keselamatan dan pertahanan dapat terus terjamin.
Sehubungan itu, pihak berwajib seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat perlu memperkukuhkan lagi organisasinya selaras dengan ancaman dan perkembangan semasa.
Peranan ATM ini juga meliputi kemampuan dan keberkesanan Bahagian Staf dan Perisikan Pertahanan (BSPP).
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail ketika diwawancara oleh Utusan Malaysia berpandangan, 2008 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran.
Bagi beliau, perkembangan semasa dan pergolakan di sana sini melibatkan negara-negara serantau termasuk ketidakstabilan politik, memerlukan pertahanan Malaysia dipertingkat dan diperkukuhkan lagi.
Namun Mohd. Salleh berkeyakinan, apa jua bentuk cabaran termasuk ancaman pengganas dan sebagainya, akan dapat ditangani jika mendapat kerjasama semua pihak.
Ini termasuk kemampuan BSPP sendiri yang dilihat perlu keluar dari kepompong sedia ada dengan bersifat lebih global serta menjangkau luar sempadan.
Jika sebelum ini, peranan bahagian itu yang bersumberkan perisikan lebih kepada matlamatnya kepada pertahanan ATM sahaja, namun sudah tiba masanya perubahan dibuat bagi mencapai keperluan dan kepentingan keselamatan dan pertahanan nasional.
‘‘Untuk itu adalah perlu satu transformasi secara menyeluruh dengan menstrukturkan semula organisasi BSPP.
‘‘Saya melihat BSPP perlu dinaikkan tarafnya ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mengubah namanya kepada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).
‘‘Langkah ini bagi menepati dan seiring dengan penstrukturan ATM sendiri dalam menyahut cabaran pertahanan serantau dan global yang lebih kompleks dan pelbagai dimensi,’’ katanya.
Melalui MDIO nanti, ia bakal merangkumi empat dimensi utama sejajar dengan peranannya terhadap pertahanan ATM dan nasional iaitu meliputi ruang angkasa, muka bumi, bawah muka bumi (sub-surface) dan alam siber.
Dengan peranan yang lebih meluas itu, Mohd. Salleh menambah, ia merupakan satu proses berterusan yang harus difokuskan oleh semua peringkat anggota.
‘‘Cuma kekangan tertentu seperti kewangan, sumber manusia dan logistik merupakan kekangan yang mungkin menjadi cabaran dalam perjuangan meningkatkan peranan organisasi ini.
‘‘Namun, proses pembangunan ini akan terlaksana dengan konsisten mengikut keperluan dan keadaan semasa dan sudah pasti jika keperluan dapat mengatasi kekangan ini, saya pasti kita akan berjaya dengan bergaya akhirnya,’’ kata beliau.
Penstrukturan BSPP dilihat seiring dengan perkembangan pembangunan ATM seperti yang telah diuar-uarkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
‘‘Penstrukturan ini akan memperlihatkan perisikan menjangkau kawasan pertahanan berkepentingan sebelum ini.
‘‘Kita mesti ingat, kini ancaman kita bukan sahaja datang dari dalam negara, malah musuh juga datang dari luar dan ia boleh berlaku bila-bila masa. Lihatlah apa yang berlaku di sesetengah negara yang diancam pengganas.
‘‘Ancaman juga boleh berlaku melalui pengaruh yang meresapi pihak-pihak tertentu yang terdapat dalam negara ini,’’ katanya.
Perjuangan
Mohd. Salleh memberi contoh, terdapat pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini berslogankan perjuangan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan, telah diperguna dan diperdayakan oleh anasir luar bagi membuat kekacauan dalam negara ini.
Ekoran itu, tidak hairanlah baru-baru ini berlaku perhimpunan haram dan rusuhan di ibu negara yang seterusnya telah mencabar kewibawaan pihak berkuasa dan menggugat keselamatan negara.
‘‘Bagi memastikan keadaan ini tidak berlaku dan kita dapat bertindak lebih awal bagi mencegah kekacauan serta ancaman luar, maka perlulah kita mempunyai rangkaian kerjasama dengan negara-negara luar.
‘‘Ini termasuk bertukar-tukar maklumat antara BSPP dengan rakan sejawat negara luar. Di samping itu kita juga perlu mempunyai elemen-elemen sendiri yang berada di negara-negara berkepentingan.
‘‘Melalui elemen-elemen tersebut, kita mampu mendapat kerjasama dan seterusnya mencegah apa jua bentuk ancaman sebelum ia menular ke dalam negara,’’ katanya.
Melalui rangkaian sedemikian, BSPP mampu mengesan lebih awal bentuk-bentuk pergerakan subversif termasuk pihak yang cuba menggunakan NGO di negara ini.
Menjawab pertanyaan, Mohd. Salleh menganggap Malaysia umpama sebuah ‘bom jangka’ yang boleh meletup bila-bila masa sahaja jika keselamatan dan pertahanan negara tidak dijaga dengan rapi.
Bom jangka itu bukan bermaksud pertahanan negara ini tidak stabil tetapi berdasarkan pelbagai bentuk ancaman luar yang sering cuba mengganggu gugat keselamatan negara.
Dengan keadaan tidak menentu di sesetengah negara terutama negara jiran, Malaysia dilihat berada di tengah-tengah kancah pergolakan.
Namun, yang menakjubkan, keselamatan dan pertahanan Malaysia masih dapat dipertahankan.
‘‘Pertahanan kita memang stabil namun dalam keadaan sekarang, kita harus pertahankan keselamatan sedia ada walaupun kita lihat ada sesetengah negara yang sudah tewas,’’ katanya.
Jika berlaku kelekaan terhadap pertahanan, kemungkinan besar apa yang berlaku terhadap negara jiran akan menular ke dalam negara ini.
Selain unsur-unsur pergolakan yang berlaku di sesetengah negara serantau, kebanjiran para pekerja asing dan seterusnya perkembangan dunia siber dan teknologi tanpa sempadan, semua ini bakal memberi banyak kesan kepada pertahanan Malaysia.
Katanya, jika pihak berwajib tidak menjaga keselamatan dan pertahanannya dengan berkesan serta menjangkau keluar sempadan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
‘‘Kita tidak tahu mereka yang masuk ke negara ini benar-benar pekerja atau mungkin juga ejen anasir subversif yang cuba mempengaruhi NGO ataupun pihak tempatan.
‘‘Kita tidak mahu ada pihak luar cuba bertindak menghuru-harakan keamanan di Malaysia dengan apa cara sekali pun termasuk secara halus seperti mempermainkan sentimen perkauman.
‘‘Bagi saya, sentimen perkauman jangan sekali-kali dipermainkan kerana ia boleh menyebabkan suasana tegang.
‘‘Dalam hal ini, kita kenalah pertingkatkan kemampuan terutama dalam soal risikan. Ini penting kerana maklumat daripada risikan itulah yang akan dapat membantu mencegah dan seterusnya menjaga keselamatan dan pertahanan negara,’’ tegas beliau.
Untuk menjadi sebuah organisasi yang berwibawa, Mohd. Salleh berpendapat, anggota-anggota risik juga perlulah terdiri daripada mereka yang berkemahiran, berkebolehan dan berpengetahuan.
Menurutnya, memang keperluan logistik melibatkan peralatan teknologi moden amat berguna dan sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa, namun pengendali (anggota) juga perlulah terdiri daripada mereka yang berwibawa.
‘‘Apabila kita mampu menyekat dan mencegah sebarang cubaan anasir subversif daripada menggugat keselamatan negara, sudah pasti ini dapat mewujudkan suasana yang stabil.
‘‘Pada masa sama, kita juga perlulah akui bahawa kerajaan yang stabil akan memberi sumbangan besar kepada kestabilan keselamatan dan pertahanan negara,’’ katanya.
Perisikan ATM yang didukung oleh BSPP tidak boleh berada pada takuk lama.



Tiada ulasan: