Isnin, 7 Januari 2008

DIMENSI RISIK ATM 2008 (DARI UTUSAN ONLINE)


Oleh AMIR SARIFUDIN (WARTAWAN UTUSAN)




INSIDEN letupan bom dan ancaman pengganas di Thailand, Filipina, Indonesia dan pergolakan politik di negara-negara seperti Pakistan berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto baru-baru ini, sedikit sebanyak mampu memberi kesan kepada keselamatan Malaysia.
Dengan kata lain, ia boleh memberi tempias kepada negara-negara berdekatan seperti Malaysia jika kita tidak mengambil berat isu pertahanan.
Oleh itu, adalah penting kestabilan politik sesebuah negara dipertahankan kerana ia menentukan keselamatan dan pertahanan dapat terus terjamin.
Sehubungan itu, pihak berwajib seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat perlu memperkukuhkan lagi organisasinya selaras dengan ancaman dan perkembangan semasa.
Peranan ATM ini juga meliputi kemampuan dan keberkesanan Bahagian Staf dan Perisikan Pertahanan (BSPP).
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail ketika diwawancara oleh Utusan Malaysia berpandangan, 2008 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran.
Bagi beliau, perkembangan semasa dan pergolakan di sana sini melibatkan negara-negara serantau termasuk ketidakstabilan politik, memerlukan pertahanan Malaysia dipertingkat dan diperkukuhkan lagi.
Namun Mohd. Salleh berkeyakinan, apa jua bentuk cabaran termasuk ancaman pengganas dan sebagainya, akan dapat ditangani jika mendapat kerjasama semua pihak.
Ini termasuk kemampuan BSPP sendiri yang dilihat perlu keluar dari kepompong sedia ada dengan bersifat lebih global serta menjangkau luar sempadan.
Jika sebelum ini, peranan bahagian itu yang bersumberkan perisikan lebih kepada matlamatnya kepada pertahanan ATM sahaja, namun sudah tiba masanya perubahan dibuat bagi mencapai keperluan dan kepentingan keselamatan dan pertahanan nasional.
‘‘Untuk itu adalah perlu satu transformasi secara menyeluruh dengan menstrukturkan semula organisasi BSPP.
‘‘Saya melihat BSPP perlu dinaikkan tarafnya ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mengubah namanya kepada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).
‘‘Langkah ini bagi menepati dan seiring dengan penstrukturan ATM sendiri dalam menyahut cabaran pertahanan serantau dan global yang lebih kompleks dan pelbagai dimensi,’’ katanya.
Melalui MDIO nanti, ia bakal merangkumi empat dimensi utama sejajar dengan peranannya terhadap pertahanan ATM dan nasional iaitu meliputi ruang angkasa, muka bumi, bawah muka bumi (sub-surface) dan alam siber.
Dengan peranan yang lebih meluas itu, Mohd. Salleh menambah, ia merupakan satu proses berterusan yang harus difokuskan oleh semua peringkat anggota.
‘‘Cuma kekangan tertentu seperti kewangan, sumber manusia dan logistik merupakan kekangan yang mungkin menjadi cabaran dalam perjuangan meningkatkan peranan organisasi ini.
‘‘Namun, proses pembangunan ini akan terlaksana dengan konsisten mengikut keperluan dan keadaan semasa dan sudah pasti jika keperluan dapat mengatasi kekangan ini, saya pasti kita akan berjaya dengan bergaya akhirnya,’’ kata beliau.
Penstrukturan BSPP dilihat seiring dengan perkembangan pembangunan ATM seperti yang telah diuar-uarkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
‘‘Penstrukturan ini akan memperlihatkan perisikan menjangkau kawasan pertahanan berkepentingan sebelum ini.
‘‘Kita mesti ingat, kini ancaman kita bukan sahaja datang dari dalam negara, malah musuh juga datang dari luar dan ia boleh berlaku bila-bila masa. Lihatlah apa yang berlaku di sesetengah negara yang diancam pengganas.
‘‘Ancaman juga boleh berlaku melalui pengaruh yang meresapi pihak-pihak tertentu yang terdapat dalam negara ini,’’ katanya.
Perjuangan
Mohd. Salleh memberi contoh, terdapat pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini berslogankan perjuangan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan, telah diperguna dan diperdayakan oleh anasir luar bagi membuat kekacauan dalam negara ini.
Ekoran itu, tidak hairanlah baru-baru ini berlaku perhimpunan haram dan rusuhan di ibu negara yang seterusnya telah mencabar kewibawaan pihak berkuasa dan menggugat keselamatan negara.
‘‘Bagi memastikan keadaan ini tidak berlaku dan kita dapat bertindak lebih awal bagi mencegah kekacauan serta ancaman luar, maka perlulah kita mempunyai rangkaian kerjasama dengan negara-negara luar.
‘‘Ini termasuk bertukar-tukar maklumat antara BSPP dengan rakan sejawat negara luar. Di samping itu kita juga perlu mempunyai elemen-elemen sendiri yang berada di negara-negara berkepentingan.
‘‘Melalui elemen-elemen tersebut, kita mampu mendapat kerjasama dan seterusnya mencegah apa jua bentuk ancaman sebelum ia menular ke dalam negara,’’ katanya.
Melalui rangkaian sedemikian, BSPP mampu mengesan lebih awal bentuk-bentuk pergerakan subversif termasuk pihak yang cuba menggunakan NGO di negara ini.
Menjawab pertanyaan, Mohd. Salleh menganggap Malaysia umpama sebuah ‘bom jangka’ yang boleh meletup bila-bila masa sahaja jika keselamatan dan pertahanan negara tidak dijaga dengan rapi.
Bom jangka itu bukan bermaksud pertahanan negara ini tidak stabil tetapi berdasarkan pelbagai bentuk ancaman luar yang sering cuba mengganggu gugat keselamatan negara.
Dengan keadaan tidak menentu di sesetengah negara terutama negara jiran, Malaysia dilihat berada di tengah-tengah kancah pergolakan.
Namun, yang menakjubkan, keselamatan dan pertahanan Malaysia masih dapat dipertahankan.
‘‘Pertahanan kita memang stabil namun dalam keadaan sekarang, kita harus pertahankan keselamatan sedia ada walaupun kita lihat ada sesetengah negara yang sudah tewas,’’ katanya.
Jika berlaku kelekaan terhadap pertahanan, kemungkinan besar apa yang berlaku terhadap negara jiran akan menular ke dalam negara ini.
Selain unsur-unsur pergolakan yang berlaku di sesetengah negara serantau, kebanjiran para pekerja asing dan seterusnya perkembangan dunia siber dan teknologi tanpa sempadan, semua ini bakal memberi banyak kesan kepada pertahanan Malaysia.
Katanya, jika pihak berwajib tidak menjaga keselamatan dan pertahanannya dengan berkesan serta menjangkau keluar sempadan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
‘‘Kita tidak tahu mereka yang masuk ke negara ini benar-benar pekerja atau mungkin juga ejen anasir subversif yang cuba mempengaruhi NGO ataupun pihak tempatan.
‘‘Kita tidak mahu ada pihak luar cuba bertindak menghuru-harakan keamanan di Malaysia dengan apa cara sekali pun termasuk secara halus seperti mempermainkan sentimen perkauman.
‘‘Bagi saya, sentimen perkauman jangan sekali-kali dipermainkan kerana ia boleh menyebabkan suasana tegang.
‘‘Dalam hal ini, kita kenalah pertingkatkan kemampuan terutama dalam soal risikan. Ini penting kerana maklumat daripada risikan itulah yang akan dapat membantu mencegah dan seterusnya menjaga keselamatan dan pertahanan negara,’’ tegas beliau.
Untuk menjadi sebuah organisasi yang berwibawa, Mohd. Salleh berpendapat, anggota-anggota risik juga perlulah terdiri daripada mereka yang berkemahiran, berkebolehan dan berpengetahuan.
Menurutnya, memang keperluan logistik melibatkan peralatan teknologi moden amat berguna dan sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa, namun pengendali (anggota) juga perlulah terdiri daripada mereka yang berwibawa.
‘‘Apabila kita mampu menyekat dan mencegah sebarang cubaan anasir subversif daripada menggugat keselamatan negara, sudah pasti ini dapat mewujudkan suasana yang stabil.
‘‘Pada masa sama, kita juga perlulah akui bahawa kerajaan yang stabil akan memberi sumbangan besar kepada kestabilan keselamatan dan pertahanan negara,’’ katanya.
Perisikan ATM yang didukung oleh BSPP tidak boleh berada pada takuk lama.



CABARAN BARU RISIKAN TENTERA

Oleh AMIR SARIFUDIN (WARTAWAN UTUSAN)

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0417&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

PASUKAN perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berhadapan dengan cabaran yang lebih meluas untuk memastikan pertahanan negara terus berada dalam tahap siap siaga.
Ini berikutan perkembangan bentuk ancaman keselamatan negara yang semakin canggih sama ada dari dalam dan luar negara yang menuntut peranan perisikan ATM diperhebatkan lagi.
Perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin pantas juga mendesak ATM melengkapkan pasukan perisikannya dengan peralatan komunikasi yang terkini.
Dari segi peranan anggotanya, setiap anggota perisikan ATM dilihat perlu meningkatkan kemampuan diri serta kebolehan yang dimiliki dalam bidang perisikan.
Pada masa yang sama, elemen-elemen berkaitan perisikan seperti peralatan juga perlu lebih canggih bagi memastikan matlamat dan visi perisikan berkenaan mencapai sasaran.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya perisikan ATM diletakkan pada tahap lebih tinggi dan ia tidak boleh statik sepanjang masa.
Perubahan demi perubahan perlu dibuat bukan sahaja pada diri setiap anggota dan pegawai perisikan bagi memastikan kebolehan mereka sentiasa mendahului situasi yang wujud, malah peralatan serta kesiapsiagaan juga.
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail berpendapat perisikan tentera kini harus berada pada tahap lebih tinggi.
Menurutnya, perisikan tersebut juga harus berkembangan kerana ia mempunyai peranan amat penting bukan sahaja kepada kesiapsiagaan ATM, malah apa yang lebih penting ialah kepada keselamatan negara dan rantau ini.
Bagi memastikan perisikan pertahanan negara berada di peringkat dan tahap lebih tinggi, tiga cabang utama dalam ATM iaitu darat, laut dan udara, perlu bergabung tenaga.
‘‘Kita harus melihat perisikan pertahanan dapat menyumbang terhadap keperluan negara dan rantau ini.
‘‘Ia harus lebih kepada strategi negara bagi memenuhi dasar dan polisi pertahanan.
‘‘Perisikan ATM juga harus mampu mengesan dan menghidu apa jua bentuk ancaman yang kemungkinan berlaku terhadap negara supaya tindakan awal dapat diambil.
‘‘Dengan kemampuan itu, kita dapat menghindarkan sebarang bentuk ancaman,’’ katanya ketika diwawancara oleh Utusan Malaysia.
Menyumbang
Menurut Mohd. Salleh, peranan perisikan pertahanan ATM bukan lagi hanya untuk ATM, tetapi harus diperluaskan supaya dapat menyumbang kepada keselamatan negara ini.
Katanya, dalam hal ini, perisikan pertahanan perlu meneruskan peranannya iaitu mengesan apa jua bentuk ancaman.
Sehubungan itu, peranan yang lebih meluas itu meliputi melihat ancaman-ancaman luaran termasuk di persempadanan negara.
Berikutan itu, Mohd. Salleh berpendapat bagi meningkatkan kemampuan perisikan ATM, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) memerlukan penstrukturan semula.
‘‘Penstrukturan semula BSPP ini bertujuan mewujudkan kemampuan bahagian berkenaan.
‘‘Langkah itu secara langsung memberi kepercayaan kepada kemampuan serta kebolehan perisikan pertahanan ATM.
‘‘Penstrukturan semula ini perlu mengikut keadaan dan perkembangan semasa,’’ jelas Mohd. Salleh.
Melalui penstrukturan semula BSPP itu, kemampuan anggota dan pegawai berkenaan dipertingkatkan selain peralatan yang dimiliki agar setanding dengan pihak-pihak luar.
Langkah membabitkan perubahan dalam BSPP itu kelak membolehkan staf perisikan menjalankan pengintipan untuk mendapatkan maklumat perisikan dengan lebih berkesan.
Penstrukturan semula BSPP itu dilihat sebagai langkah menjadikan ia sebuah agensi pengintipan berwibawa yang mampu mengumpul apa jua bentuk maklumat bagi kepentingan pertahanan dan keselamatan negara.
‘‘Kita mempunyai staf yang cukup berpengalaman, namun pada masa sama ia perlu disesuaikan dengan kecanggihan peralatan perisikan.
‘‘Tak guna kita ada staf yang baik dan berwibawa tetapi kekurangan peralatan.
‘‘Langkah penstrukturan semula BSPP ini untuk meletakkan perisikan pertahanan pada peringkat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini,’’ kata Mohd. Salleh.
Seterusnya beliau membayangkan bahawa pusat latihan perisikan yang ada mampu melahirkan staf serba berkebolehan dengan meletakkan Tentera Darat, Laut dan Udara di bawah satu institusi.
Mengulas lanjut mengenai peralatan perisikan, Mohd. Salleh berkata, ia meliputi pelbagai kemudahan termasuk peralatan siber, operasi perisikan, peralatan pemantauan jarak jarah dan banyak lagi.
Peralatan perisikan tercanggih digabung dengan kebolehan dan kewibawaan staf perisikan membolehkan pelaksanaan tugas secara lebih berkesan.
Penstrukturan semula BSPP dilihat bertujuan memastikan pertahanan dan keselamatan negara terus berada pada tahap memuaskan tanpa mana-mana pihak dapat menggugatnya.
Dalam hal ini, BSPP dilihat mempunyai peranan amat besar berikutan langkah penstrukturan semula ini.
Peranan dan sumbangan BSPP itu bukan sahaja kepada angkatan bersenjata negara, malah kepada keselamatan rakyat.
Seharusnya langkah penstrukturan semula membabitkan peranan dan tanggungjawab BSPP dalam meningkatkan kemampuan perisikan pertahanan diharap dapat membawa kepada kewujudan perisikan yang lebih berkesan dan bertenaga.
Apa yang dilakukan itu dilihat sebagai membawa perubahan berikutan cabaran-cabaran baru dan mendatang sama ada ancaman dari dalam mahupun luar negara.