Rabu, 30 Januari 2008

KECEKAPAN PERISIK TONGGAK KESELAMATAN NEGARA

Oleh Hardi Effendi Yaacob (bharian Online)
Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Skuad/20071224071442/Article/

DITUBUHKAN sejak awal 1970-an, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) antara jabatan terpenting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khusus bagi mengendalikan operasi risikan dan pelbagai misi mustahil lain. Malah, jabatan itu berperanan penting dalam melakukan pengesanan awal, selain pengumpulan maklumat berhubung sebarang anasir atau kegiatan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman rakyat. Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Mohd Salleh Ismail, berkata BSPP sebahagian daripada agensi dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan keupayaan sistem keselamatan negara melalui maklumat risikan yang diperoleh.

“Dalam menjamin keselamatan negara dan ketenteraman rakyat, elemen perisikan amat penting kerana ia membantu perancangan strategi bagi menghalang serta bertindak balas dengan mana-mana anasir jahat atau musuh negara. “Setiap negara di seluruh dunia pasti mempunyai agensi perisikan masing-masing kerana tugas ini penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terbabit sentiasa dalam keadaan terjamin,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenaikan pangkatnya yang disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, BSPP ketika ini mempunyai enam unit operasi iaitu Cawangan Gerak Saraf, Cawangan Perisikan Tempur, Cawangan Perisikan Imej, Cawangan Risik Balas dan Keselamatan serta Cawangan Risik Peperangan Elektronik. “Kehidupan aman damai oleh semua kaum yang dikecapi rakyat hasil daripada keselamatan yang terjamin. Malah, kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara adalah hasil kecekapan BSPP serta agensi keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara. “Rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih dengan keharmonian yang diperoleh ini dan memperakui bahawa ini adalah hasil dari dasar keselamatan dan pembangunan seimbang,” katanya. Justeru, beliau berkata, pembangunan yang dinikmati hari ini adalah bertitik tolak daripada kesinambungan keselamatan yang dimainkan semua agensi keselamatan negara dalam menangani masalah dan cubaan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk menghancurkan negara.

“BSPP secara keseluruhannya saling berinteraksi dan berkongsi maklumat dengan pasukan keselamatan yang lainnya dalam memperoleh maklumat untuk bertindak balas dan mencegah serta menangkis semua bentuk ancaman. “Ini termasuklah usaha pihak yang berkepentingan untuk mengganggu kerajaan melalui aktiviti keganasan. Usaha menyeluruh ini sekali gus akan meningkatkan tahap keselamatan negara pada kedudukan tertinggi agar rakyat dapat terus hidup sejahtera,” katanya.

Tiada ulasan: